Majoriti penduduk Kg Baru mahu Rang Undang-undang ditarik balik- Dr Lo’ lo

4/01/2011 07:44:00 PTG at 4/01/2011 07:44:00 PTG

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohamad Ghazali berkata majoriti penduduk Kampung Baru mahukan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB) ditarik balik, berdasarkan beberapa siri pertemuan yang diadakan dengan penduduk kawasan tersebut.

Justeru, beliau menafikan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik bahawa 90 peratus warga kampung Baru bersetuju dengan RUU tersebut.

“Kami juga mengambil inisiatif mengedarkan salinan RUU PPKB 2010 kepada pemilik tanah yang hadir pada sesi penerangan kami. Majoriti pemilik dan pewaris hartanah di Kampung Bharu mahukan RUU ini ditarik sepenuhnya terlebih dahulu di Parlimen.

“Kenyataan Raja Nong Chik yang menyatakan 90% orang Kampung Bharu bersetuju dengan RUU PPKP adalan tidak tepat, jika melihat kepada bantahan yang dizahirkan melalui sepanduk yang dinaikkan oleh penduduk Kampung Baru,” katanya yang telah mengadakan enam pertemuan dan majlis penerangan dengan penduduk berkenaan melalui Sekretariat Pembangunan Kampung Baru.

Sekretariat itu diselenggara di bawah Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa yang dikendalikannya, di mana beliau memberikan penerangan dan berdialog dengan pemilik dan pewaris warisan itu.

Sehubungan itu beliau mendesak supaya Datuk Raja Nong Chik menarik semula pembentangan rang undang-undang itu yang meminggirkan fungsi dan peranan yang dimainkan Perbadanan Pentadbiran Kampung Baru (MAS).

“Jangan samakan MAS dengan NGO. MAS adalah entiti ‘Kerajaan Tempatan’ yang mempunyai enakmen sendiri dan jauh lebih berwibawa berbanding NGO yang tidak mewakili suara majorirti penduduk.

“Saya menasihatkan pemilik tanah Kampung Baru supaya jangan mudah terpedaya dan terpesona dengan janji-janji manis ini. Ini bukan hasutan tetapi peringatan. Sejarah di Kampung Baru sendiri membuktikan bagaimana janji-janji manis yang ditaburkan kerajaan hanya tinggal janji,” katanya.

Beliau memberikan contoh Projek Puncak Baru di tapak Pasar Minggu Kampung Bharu yang dilancarkan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Mac 2009 dengan peruntukkan RM 500 juta. Projek itu dijanjikan bermula dari 3 bulan selepas upacara pecah tanah, namun gagal selepas dua tahun dilancarkan.

Beliau bimbang, kerana RUU PPKB 2010 telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama pada Disember 2010 yang lalu dilakukan tanpa berbincang dengan penduduk.

“Setiausaha Parlimen dan Menteri harus datang berjumpa dan berbincang dengan pemilik dan pewaris. Bukan hanya bertemu wakil-wakil NGO.

“Penduduk boleh memberi cadangan berhubung klausa tertentu yang tidak dipersetujui atau yang mahu dibantah. Wakil-wakil juga hendaklah terdiri dari pemilik-pemilik hartanah di Kampung Baru yang tidak berada dibawah pentabdiran MAS,” ujar Dr Lo Lo.

0 comments: